Allah s.w.t telah mengharuskan pengamalan poligami terhadap lelaki berdasarkan dalil dari al-Quran, as-Sunnah dan juga ijma’ para ulama’. Hukum asal poligami ialah harus dan dibolehkan. Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t:
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا
“ Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim ( apabila kamu berkahwin dengan mereka ), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan ( lain ): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka ( berkahwinlah dengan ) seorang sahaja, atau ( pakailah ) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat ( untuk mencegah ) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisa’:3)
Inilah kebenaran berkahwin lebih daripada satu yang disertakan dengan peringatan supaya berhati-hati menggunakan kebenaran kerana dibimbangi lemah untuk berlaku adil. Sekiranya berada dalam kebimbangan untuk berlaku adil, memadailah berkahwin seorang sahaja.
Persoalan perkahwinan lebih dari seorang dengan peringatan supaya berhati-hati mengamalkannya eloklah dengan cara mudah, jelas dan tegas. Eloklah kita mengetahui segala keadaan dan latar belakang sebenar yang menyelubungi persoalan ini. Di dalam ayat tersebut, jelaslah terdapat perkataan fannkihu ( maka kahwinlah ). Kemudian selepas ayat tersebut disebut “ dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan ( lain ): dua, tiga atau empat ”. Ayat ini disambung dengan menyebut syarat wajib sebagai penentu sama ada seseorang itu layak berpoligami atau sebaliknya. Syarat disebut ( dalam ayat di atas ) iaitu “ Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim ( apabila kamu berkahwin dengan mereka ) ”. Seterusnya selepas ayat tersebut disambung lagi ” Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka ( berkahwinlah dengan ) seorang sahaja ”.
Dengan itu jelaslah bahawa perintah suruhan berkahwin lebih dari seorang isteri dalam ayat tersebut tidak membawa kepada hukum wajib. Hal ini kerana poligami dikaitkan dengan keadilan suami terhadap isteri-isterinya. Dalam ayat lain Allah s.w.t berfirman :
وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ
“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh ( hendak melakukannya ); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau ( berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi ) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung ( di awan-awan ) .” (Surah An-Nisa’:129)
Maksud ayat di atas menegaskan bahawa suami yang berpoligami tetap tidak boleh berlaku adil tentang kecenderungan hati dan perasaan kepada isteri-isterinya. Ini merupakan peringatan dan amaran keras terhadap suami dari sudut kepimpinan keluarga. Maksud tersirat dalam ayat ini mencabar para suami dan diwajibkan berlaku adil dalam semua hal terhadap isteri-isterinya. Dalam masa yang sama terdapat dalam diri suami sebab atau perkara yang membuat dirinya tidak boleh berlaku adil tentang cinta dan kasih sayang.
Bagi mereka yang telah berpoligami, maksud ayat ini memberi ingatan terhadap isteri-isteri agar tidak menjadikan kencenderungan suami tentang melebihkan kasih sayang atau cinta terhadap salah seorang dari mereka sebagai sebab yang menyebabkan diri sendiri tidak boleh taat kepada suami. Allah s.w.t telah menasihatkan kepada para wanita yang dipoligamikan bahawa kencenderungan sebegitu adalah perkara yang luar dari kemampuan suami. Suami tidak mampu mengelakknya walaupun dia cuba mengelakkan perkara tersebut.
Jelaslah bahawa perintah “ berkahwin lebih dari satu isteri ” yang disebut dalam ayat 3 Surah An-Nisa’ itu bukannya ditujukan kepada semua lelaki sama ada wujud syarat kelayakkan ( mampu berlaku adil ) atau sebaliknya. Tetapi perintah itu dikhususkan bagi suami yang mempunyai isteri yang berada dalam keadaan uzur atau tidak mampu melahirkan zuriat dalam keadaan suami memerlukan zuriat. Islam membuka jalan keluar bagi mengatasi masalah berkenaan. Suami disuruh berpoligami dengan memilih wanita yang memahami masalah suami dan berkemampuan membahagiakan suami dan isterinya yang sedia ada. Inilah maksud yang terkandung dalam ayat berkenaan ( Surah An-Nisa’ : 3 ).
DALIL DARI SUNNAH
Manakala dalil dari as-Sunnah seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori dengan isnadnya bahawa Ghaylan ibn Salamah Ath-Thaqafi telah memeluk Islam, sedangkan dia mempunyai sepuluh orang isteri lalu Rasulullah s.w.t bersabda kepadanya:
إخترهن منهن أربعا
“ Pilihlah empat orang dari mereka ”.
(Riwayat Abu Daud no : 2241, Hadith ini disahihkan oleh al-Bani.)
(Riwayat Abu Daud no : 2241, Hadith ini disahihkan oleh al-Bani.)
Namun begitu masih terdapat hadith kedua sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Qaisbin al-Harith r.a, beliau berkata : “ Ketika saya masuk Islam, saya memiliki lapan orang isteri, lalu saya berjumpa Rasulullah s.a.w dan menceritakan keadaan saya. Lalu Baginda bersabda :
إخترهن منهن أربعا
“ Pilih empat di antara mereka.”
(Ibnu Majah, Abu Abdillah Muhammad al-Qazwini, Sunan Ibnu Majah, Dar al-Ma’rifat, Beirut.)
(Ibnu Majah, Abu Abdillah Muhammad al-Qazwini, Sunan Ibnu Majah, Dar al-Ma’rifat, Beirut.)
Menurut Imam as-Syafi’e di dalam musnadnya : “ Aku telah dikhabarkan oleh orang yang mendengar Ibn Abiz-Ziad berkata : “ Aku telah dikhabarkan oleh Abdul Majid dari Ibnu Sahl ibn Abdul Rahman dari Naufal ibn Mu’awiyah ad-Dailami katanya : “ Aku memeluk agama Islam sedangkan aku di waktu itu mempunyai lima orang isteri lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku :
إختر أربعا أيتهن شئت وفارق الأخرى.
“ Pilihlah empat orang mana-mana yang engkau suka dari mereka dan ceraikan yang lain.”
(Dinukilkan dari Tafsir Fi Zhilalil Quran, Asy-Syahid Qutb Rahimahullah.Terjemahan Yusof Zaky Haji Yacob. Jilid Tiga. Pustaka Aman Press Sdn.Bhd.)
(Dinukilkan dari Tafsir Fi Zhilalil Quran, Asy-Syahid Qutb Rahimahullah.Terjemahan Yusof Zaky Haji Yacob. Jilid Tiga. Pustaka Aman Press Sdn.Bhd.)
Di sini jelaslah bahawa sewaktu Islam datang kaum lelaki mempunyai sepuluh orang isteri atau lebih atau kurang, yakni mereka beristeri tanpa batasan dan syarat. Kedatangan Islam ialah untuk mengatakan kepada kaum lelaki bahawa di sana ada batasan bilangan isteri yang tidak boleh melebihi empat orang sahaja.
Islam datang bukannya untuk memberi kebebasan beristeri dari seorang, malah untuk membataskan bilangannya. Islam datang bukanlah untuk membiarkan perkara ini semata-mata kehendak hawa nafsu kaum lelaki, malah untuk meletakkan keadilan sebagai syarat utama perkahwinan lebih dari satu. Jika tidak dapat berlaku adil, maka kebenaran yang diberikan itu tidak dapat dilaksanakan.
DALIL DARI IJMA’ ULAMA’
Kesepakatan ( ijma’ ) kaum muslimin tentang keharusan poligami sama ada melalui ucapan atau perbuatan mereka sejak zaman Rasulullah s.a.w merupakan satu dalil bahawa poligami dibolehkan dalam Islam. Para sahabat utama Rasulullah s.a.w melakukan poligami seperti Umar bin al-Khatab, Ali bin Abi Thalib, Muawiyyah bin Abi Sufyan dan Muaz bin Jabal radhiallahu’anhum. Poligami juga dilakukan oleh ahli fiqh tabi’in ( generasi pascasahabat ) dan lain-lain yang berkahwin lebih dari seorang isteri. Kesimpulannya bahawa generasi salaf ( terdahulu ) dan khalaf ( kini ) dari umat Islam sepakat melalui ucapan dan perbuatan mereka bahawa poligami itu halal.
Imam Jalaluddin al-Mahalli menukil dari perkataan Imam al-Nawawi dalam kitabnya : “ kebolehan seorang lelaki yang merdeka memiliki empat perempuan sedangkan hamba sahaya diizinkan menikahi dua perempuan.”
(Al-Mahalli, Jalaluddin, Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj at-Tholibin , Dar al-Fikr, Beirut.)
(Al-Mahalli, Jalaluddin, Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj at-Tholibin , Dar al-Fikr, Beirut.)

No comments:
Post a Comment